Festival minggu usahawan Islam
Oleh: Nordiyana & Siti Hafizah

 


Picture
NILAI- Fakulti Sains dan Teknologi telah menganjurkan Festival Minggu  Usahawan Islam yang bertujuan untuk mengumpul dana sekreteriat FST pada 25 hingga 29 Januari 2010 bertempat di perhentian bas lama USIM.

Festival ini telah disertai oleh 34 buah gerai yang terdiri daripada orang awam dan mahasiswa. Keba- nyakan barang yang dijual adalah barang keperluan diri seperti pakaian, buku dan makanan. Selain itu, terdapat gerai yang membuat pemeriksaan mata secara percuma kepada mahasiswa.

Menurut Pengarah Program, Mohd Zakuan Nazmi Mohd Zaim, 21, tahun 2, FST, program ini mendapat sambutan yang memuaskan dari pihak peniaga dan pembeli. Peniaga banyak mendapat keuntungan melalui program ini.

Beliau berkata, “Peniaga dikenakan syarat supaya berniaga barang yang berunsurkan Islam sahaja seperti pakaian yang menutup aurat, buku-buku tentang Islam dan sebagainya. Peniaga yang bukan Islam mestilah menutup aurat jika ingin berniaga di sini.”

Mohd Nazim Mohd Ramli, 22, Tahun 3, FST, salah seorang mahasiswa yang berniaga berkata, “sehingga hari ni, kami tak nampak sebarang kerugian dan kami harap apabila kami tutup gerai nanti, kami akan dapat pulangan yang setimpal.

Seorang pemilik gerai menjual pakaian, En. Mohd Hirman Abd Rahim, 30, berkata, “Alhamdulillah jualan memberangsangkan sebab saya dah tahu pasaran USIM sebab setiap semester saya berniaga di USIM.”

Menurut Barakah Yunus, FPQS, Tahun 4, festival ini dapat membantu para pelajar mencari pendapatan lebih dengan membantu peniaga yang memerlukan bantuan.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Norzalila Masjony, 21, berkata, “Semua event yang dibuat dapat bantu income USIM termasuk festival ni, sekarang bajet USIM kurang, program ini dapatlah bantu ekonomi USIM.”

Beliau berkata lagi, “Pelajar tak perlu keluar ke tempat yang jauh untuk beli-belah kerana di sini pun harga barang berpatutan dan pelajar juga dapat menjimatkan perbelanjaan pengangkutan.”

Pengarah program berharap agar festival seperti ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan kerana sambutan sangat menggalakkan.

Selain dapat menerapkan sifat keusahawanan di kalangan mahasiswa, festival ini juga dapat melatih para pelajar yang ingin berniaga untuk mencari pendapatan lebih.