Pelajar USIM sertai "Road Safety Walk"
Oleh: Mohamad Fadzil

SEREMBAN - Seramai 35 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Program “Road Safety Walk” di Majlis Perbandaran Seremban Negeri Sembilan, anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan.

Program yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hassan itu turut disertai YB Menteri Pengangkutan, Datuk Sen Ong Tee Keat dan Ketua Pengarah Jabatan, Datuk Suret Singh.

Program tersebut diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutamanya pelajar tentang keselamatan jalan raya sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan Pelaksanaan Dekad Keselamatan Jalan Raya 2010–2020.

Menurut penganjur program, Nor Afendy Hanapi, beliau berterima kasih kepada pihak USIM kerana dapat menghantar wakil sebagai kontinjen dalam program tersebut.

“Kami juga sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh mahasiswa USIM sepanjang program tersebut berlangsung,” ujar beliau.

Mohd Shah Ahmad, 22, Exco Sukan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Pelajar USIM, beliau berharap program seperti ini dapat dijalankan di USIM pada masa akan datang supaya dapat menarik mahasiswa dan mahasiswi USIM dalam memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya.
 “Program seumpama ini turut memberi pendedahan kepada para peserta terutamanya mahasiswa dalam kepentingan keselamatan ketika berada di jalan raya,” tambah beliau lagi.

“Program yang mulanya saya anggap untuk beriadah sahaja, sebenarnya diisi dengan program berbentuk kesedaran mengenai keselamatan jalan raya seperti penggunaan topi keledar dan pemakaian tali pinggang yang betul.

“Program ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk kami sebagai mahasiswa yang sering alpa untuk mengejar ‘pointer’ dalam peperiksaan tanpa mengetahui ilmu lain seperti ini,” kata Muhammad Noorhasif Hisham, 21, FPQS, pelajar dari Program Sunnah Pengurusan Maklumat.

Program tersebut berakhir pada jam 12.00 tengahari dengan sesi jamuan untuk semua yang hadir.

Mahasiswa dan mahasiswi USIM berasa sangat gembira kerana mereka mendapat pengalaman yang berharga daripada program tersebut.