Resolusi 10 sidang pleno selamat dibentangkan

Oleh: Nainmah Che Ismail



Picture
PERUBAHAN...Saudara Alif Ismail membentangkan Resolusi 10
NILAI- Satu Pembentangan Resolusi 10 Sidang Pleno telah diadakan dalam Majlis Pertemuan Khas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2008/2009 dan MPP sesi 2009/2010 bersama Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Majlis pertemuan khas ini telah berlangsung pada jam 8 malam di Dewan Senat, Bangunan Canselori pada 26 Januari yang lepas.

Pembentangan Resolusi 10 Sidang Pleno ini adalah lanjutan daripada sidang pleno siswa yang telah berlangsung dalam Karnival Mahasiswa 2009 yang lepas. Sidang Pleno yang menghimpunkan seluruh pimpinan pelajar daripada semua badan, kelab dan persatuan yang terdapat di USIM ini telah membincangkan semua aspek utama yang melibatkan kebajikan pelajar dan soal-soal kemahasiswaan. Semua usul yang dibincangkan dalam sidang pleno tersebut telah dibentangkan oleh saudara Muhammad Alif Ismail, mantan YDP MPP sesi 2008/2009.

Dalam majlis pembentangan tersebut, Naib Canselor Universiti, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr.Muhammad Muda telah mengucapkan tahniah kepada mantan YDP kerana telah mengambil langkah berani dengan mengadakan perbincangan yang melibatkan semua wakil badan pelajar di USIM dalam sidang pleno sempena Karnival Mahasiswa USIM yang lepas.

Menurut saudara Muhammad Alif, pihak Naib Canselor telah menyambut pandangan baik  dalam pembentangan resolusi 10 sidang pleno tersebut dan akan dimasukkan dalam website rasmi USIM untuk pengetahuan seluruh mahasiswa USIM.

“Saya berharap semua pelajar cakna dengan perubahan dalam resolusi tersebut itu nanti,” kata beliau.

Manakala, menurut  salah seorang wakil MPP sesi 2009/2010, Muhammad Hilmi bin Johari berkata, “Saya berasa amat bertuah kerana pihak pengurusan di USIM ini sangat terbuka dan telus dalam memberikan peluang kepada mahasiswanya untuk menyuarakan hasrat mereka. Penerangan atas berdasarkan fakta dan nombor telah membuka mata perwakilan mahasiswa yang hadir.”

Majlis yang dijadualkan tamat pada jam 10.30 malam telah berlanjutan sehingga jam 11 malam ekoran respon yang baik daripada semua pihak.