MUTIARA MUHASABAH

* Dua malaikat penjaga kanan dan kiri kita dikenali sebagai al- Hafazah(penjaga amal perbuatan manusia). Ibn Abbas berkata: “Mereka mencatat semua kata-kata yang diucapkan oleh manusia, sama ada baik ataupun buruk, bahkan mereka menuliskan ucapan (yang tidak mengandungi  pahala ataupun dosa sekalipun).

* Abu al-Jauza dan Mujahid berkata: “Dicatatkan semua ucapan dan perbuatan manusia termasuk rintihan sakit sekalipun.”

* “Sesungguhnya Allah s.w.t mencatat amalan baik dan buruk manusia. Maka sesiapa yang berkeinginan (hamma) untuk melakukan kebaikan namun ia tidak jadi melakukannya, akan ditulis untuknya kebaikan sempurna. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukannya lalu ia benar- benar melakukannya, maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak terbatas. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia menginginkannya lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan.

* Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Seringkali sebuah kata-kata yang diucapkan seseorang, ia menganggapnya ringan sahaja, namun dapat membuatnya melayang-layang di neraka selama tujuh puluh tahun lamanya.”

* Allah berfirman yang bermaksud: “Adapun orang yang diberikan kepadanya kitab dari sebelah kanannya, maka dia berkata: ‘Ambillah, bacalah kitab amalanmu ini. Sesungguhnya (sejak dulu) aku yakin bahawa aku akan menemui hisab terhadap diriku.’ Maka orang  itu berada dalam kehidupan yang diredhai, dalam syurga yang tinggi, buah-buahan yang dekat, (dikatakan kepada mereka): ‘Makan dan minumlah sebagai satu nikmat hasil daripada apa yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.’ Adapun orang yang diberikan kepadanya kitab dari sebelah ki- rinya, maka dia berkata:‘Aduhai alangkah baik jika tidak diberikan kepadaku kitab. Alangkah baiknya kiranya kematian itu suatu penamat (tidak dibangunkan semula). Harta kekayaanku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Malah telah hilang dariku kuasa pemiliknya” (Surah Al Haqqah 69:19-29).

* Imam al-Qurtubi meriwayatkan dalam tafsirnya: “Buku ini, lidahmu yang menjadi penanya, air liurmu yang menjadi dakwatnya dan tubuhmu menjadi kertasnya. Kamu sendiri yang mengimlakkan kepada malaikat al-hafazah. Tidak ditambah ataupun dikurangkan. Jika kamu memungkiri isinya, maka akan dihadirkan saksi daripada tubuhmu sendiri.

Sumber: Solusi isu13 & 15.