AKSIS 2009 Tingkat Motivasi Pelajar dan Semangat Berpersatuan
Oleh: Mohd Fadzil

Picture
TAHNIAH..Penerima anugerah bergambar bersama Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sebagai tanda kenangan.

 

SEPANG - Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat kali keduanya menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) USIM 2009 bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA.

Majlis tersebut merupakan malam kemuncak pengiktirafan pencapaian dan sumbangan kepada pelajar USIM atas kecemerlangan yang telah dicapai oleh mereka.

Sebanyak 10 anugerah telah dianugerahkan kepada pelajar, kumpulan, pasukan, dan badan pelajar yang dicalonkan berdasarkan sistem merit yang dilaksanakan. Antaranya ialah Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Cemerlang Sukan, Anugerah Cemerlang Seni, Anugerah Cemerlang Kepimpinan, Anugerah Perdana Siswa, dan Anugerah Khas HEP.

Objektif majlis ini ialah untuk menghargai sumbangan dan pencapaian para pelajar dalam program yang diadakan oleh mahasiswa di samping menjadi tanda aras kepada penambahbaikan program tersebut.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda dalam ucapannya menyatakan, “majlis seumpama ini adalah satu budaya yang patut diteruskan bagi meningkatkan motivasi dan semangat berpersatuan di kalangan pelajar.”

Dalam majlis ini, pelajar FSU, saudara Mohd Razlan Ahmad dan pelajar Fakulti Perubatan, saudari Nurul Hayati Chamhuri telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Siswa dan Anugerah Perdana Siswi. Masing-masing menerima wang tunai RM300, trofi dan sijil penghargaan. Urusetia Sukan & Rekreasi pula dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Emas dan menerima sebuah notebook, trofi dan sijil penghargaan.

Mantan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas HEP sebagai penghargaan di atas jasa dan bakti beliau dalam memberi sokongan padu kepada kecemerlangan aktiviti pelajar.

Mohd Razlan berkata, “Di antara kriteria yang membolehkan pelajar menerima anugerah yang dipertandingkan ini ialah aktif dalam ko-kurikulum dan cemerlang dalam akademik. Secara tidak langsung AKSIS telah menjadi batu loncatan untuk pelajar terus meneroka kegemilangan buat universiti”.